Wednesday, November 13, 2013

Tulahan : Ketua Pemuda PAS Pusat - Suhaizan ada kelebihan, Kamarulzaman bergelut, Zulhazmi dihina


Salam,

Post Pic

Semasa pemilihan PAS tahun 2011 , penulis di luar negara. Hanya mengikuti perkembangan pemilihan melalui blog dan facebook. Penulis ada membuat jangkaan sendiri pemenang bagi jawatan Timbalan, Naib Presiden dan AJK PAS Pusat.

Jangkaan penulis semasa pemilihan 2011 hampir 70 % adalah tepat terutama untuk jawatan AJK PAS Pusat. Penulis membuat jangkaan melalui jangkaan kecondongan perwakilan yang mewakili PAS Kawasan.

Bagi pemilihan 2011 perwakilan membuat pemilihan kepada calon-calon yang lama bergiat dalam parti, calon yang bersama semasa susah senang PAS, calon yang berani melawan UMNO, calon yang setia dan kuat bekerja .

Bagaimana dengan pemilihan 2013?Penulis memulakan dengan jawatan Ketua , Timbalan Ketua dan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat . Pada pemilihan 2011, penulis tidak membuat jangkaan pemenang jawatan dalam Dewan Pemuda.

Pada peringkat awal, ada kedengaran Ust. Nik Abduh akan bertanding jawatan ini kerana Ust. Nasarudin akan bertanding jawatan Naib Presiden . Manakala jawatan Timbalan Ketua akan ditandingi Saudara Kamarulzaman Muhammad dan Naib pula Ust. Khalil Abdul Hadi.

Namun, perkara itu tidak berlaku apabila Ust. Nik Abduh tidak berhasrat mempertahankan jawatan dalam Dewan Pemuda dan akan menerima pencalonan bertanding jawatan AJK PAS Pusat. 

Selepas itu, kedengaran pula bahawa Ust. Nasarudin akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda, Saudara Kamarulzaman dan  Ust. Khalil bertanding Timbalan dan Naib Ketua Pemuda.

Bagaimanapun Ust. Nasarudin juga mengumumkan tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda , justeru jawatan Ketua Pemuda perlu diisikan oleh muka baru. 

Faktor inilah kemungkinannya menyebabkan Saudara Kamarulzaman menerima pencalonan bertanding jawatan Ketua Pemuda walaupun sebelum itu namanya disebut akan bertanding jawatan Timbalan Ketua Pemuda.

Begitu juga Ust. Khalil Abdul Hadi yang bertanding jawatan Timbalan Ketua Pemuda, walaupun sebelum itu namanya disebut akan bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda. Manakala , Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat Ir. Khairil Nizam bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda.


Saudara Kamarulzaman, Ust. Khalil dan Ir. Khairil dikatakan calon-calon yang akan meneruskan corak kepimpinan era Ust. Nasarudin dalam Dewan Pemuda PAS Pusat.Umum tahu, Dewan Pemuda PAS Pusat dilihat tidak mendepani isu, tidak berada di tengah-tengah anak muda, tidak berada di medan realiti.


Pemimpin Dewan Pemuda PAS Pusat yang sepatutnya menjadi ikon anak muda Malaysia , hanya menjadi ikon dalam kelompok sendiri. Hanya menjadi sebutan, kekaguman anak muda kampus yang bergiat dengan jamaah kampus.

Penekanan Dewan Pemuda PAS Pusat terhadap usaha penyatuan fikrah, pembersihan fikrah songsang yang sepatutnya menjadi tugas Dewan Ulama mendapat kritikan sehinggakan seorang pembahas Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat tahun 2012 mengingatkan kepimpinan  pemuda jangan jadi ‘ Tua sebelum masanya’

Justeru, apabila Dewan Pemuda dipandang layu di mata masyarakat, muncullah hasrat mahu melihat Dewan Pemuda kembali segar dan menjadi harapan rakyat. 

Selain Saudara Kamarulzaman, Ust. Khalil dan Ir. Khairil , siapa pencabar lain? Saudara Suhaizan Kayat, Peguam Zulhazmi Shariff, Dr. Raja Ahmad Iskandar (Ku Is) dan Peguam Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi.

Suhaizan sebenarnya pernah dikedudukan selesa bertanding jawatan Ketua Pemuda semasa pemilihan 2011. Namun, ‘kompromi’nya menyebabkan beliau tidak bertanding jawatan Ketua Pemuda , sebaliknya bertanding jawatan Timbalan bersama 3 calon lain. Dalam pertandingan itu, Ust. Nik Abduh telah menang jawatan Timbalan Ketua Pemuda.

Kali ini , Suhaizan terus menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda dan kali ini beliau tidak berganjak untuk tetap bertanding jawatan berkenaan. Sekiranya, perwakilan pemuda mahu pemimpin yang mendepani isu. Suhaizanlah orangnya, Isu PPSMI dan daftar pemilih berganda adalah antara dua isu besar yang menjadi bukti kepimpinannya mengerakkan massa.

Pun begitu, Peguam Zulhazmi juga mempunyai keupayaan dalam mendepani isu-isu yang menghimpit rakyat. Isu KASE adalah bukti kebolehan Peguam Zulhazmi menggunakan bidangnya membantu masyarakat.

Jadi apa bezanya Zulhazmi dan Suhaizan? Dikenali perwakilan. Peguam Zulhazmi harus mengakui hakikat beliau kurang dikenali perwakilan di kawasan. Itu sebabnya, jumlah pencalonan yang diterima kecil berbanding calon lain. Zulhazmi hanya dikenali ketika isu KASE , itupun secara umum.

Suhaizan dan Kamarulzaman mempunyai kelebihan ini kerana kedua-duannya pernah menjadai AJK Dewan Pemuda PAS Pusat. Suhaizan dan Kamarulzaman pernah memimpin Dewan Pemuda PAS negeri. Jadi, tempoh mereka dikenali perwakilan sudah lama malah sejak mereka keluar dari kampus. Perlu diingat, hampir setiap kawasan mempunyai perwakilan pemuda yang dulunya aktivis kampus.

Pertembungan antara penyokong Kamarulzaman dan Zulhazmi di medan maya juga memberi kesan negatif kepada kedua-dua calon. Kedua-duanya berhadapan dengan isu yang dibangkitkan oleh penyokong masing-masing. Gaya Zulhazmi yang vokal dan stail ‘rugged’ dikatakan tidak sesuai mengetuai Dewan Pemuda PAS Pusat.

Serangan terhadap Zulhazmi adalah biadap dan keterlaluan. Walaupun siapa yang menyerangnya, kena ingat Zulhazmi juga ahli PAS yang ada hak untuk dipilih sebagai pemimpin.

Tidak sepatutnya, Zulhazmi dibelasah, dihina, dicerca semata-mata menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda. Setiap pencalonan kawasan harus diakui, calonnya harus dihormati. 

Kamarulzaman pula bergelut dengan isu PAS Putrajaya dan Isu HIMPUN yang disertainya. Walaupun , jawapan kepada isu ini dikeluarkan dalam page rasmi Facebook Dewan Pemuda PAS Pusat. Bukan berjaya menjawab isu berbangkit sebaliknya timbul isu baru, bagaimana Kamarulzaman mendapat keistimewaan dalam page rasmi Facebook Dewan Pemuda PAS Pusat.

Jawapan bagi Isu PAS Putrajaya dan isu HIMPUN tidak dapat diterima walaupun dijawab melalui page rasmi Facebook Dewan Pemuda PAS Pusat.

Kenapa? Kerana isu PAS Putrajaya sudah ada jawapannya apabila PAS Pusat mengisytiharkan mesyuarat agung yang Kamarulzaman dipilih sebagai YDP sebagai tidak sah. 

Manakala, Isu HIMPUN yang menyaksikan penglibatan Kamarulzaman telah lama ada jawapannya apabila PAS Pusat membuat kenyataan tidak terlibat dengan HIMPUN.

Pada peringkat awal kemasukan Zulhazmi seperti memberi kesan negatif kepada undi yang bakal diterima Suhaizan. Undi kepada Zulhazmi akan mengurangkan undi kepada Suhaizan.

Namun, apabila pencalonan sudah diterima dan kempen berjalan.  Keadaan sebaliknya berlaku di mana, pertembungan antara penyokong Kamarulzaman dan Zulhazmi sebenarnya memberi impak positif kepada Suhaizan di mata perwakilan. 

Kelebihan yang ada pada Suhaizan adalah keterbukaan dan rasa hormat kepada calon lain. Penyokongnya juga lebih mengutarakan kemampuan Suhaizan dan tidak menghentam calon lain.  

Berdasarkan pandangan umum, Suhaizan menjadi pilihan diikuti Zulhazmi.  Kamarulzaman walaupun tidak menjadi pilihan umum, beliau dikenali ramai perwakilan.  

Penulis tekankan disini,  pengaruh 'Geng Ulama' dan 'bukan ulama' tidak banyak mempengaruhi pemilihan Ketua Pemuda kerana perwakilan lebih mengenali calon-calon yang bertanding. Bahkan ketiga-tiga calon bukanlah berkelulusan agama. 

Perwakilan juga bukan mudah dipengaruhi dengan kempen-kempen tidak berakhlak kerana sudah di dalam kepala mereka kepada siapa yang akan diundi.

Jangkaan penulis untuk jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat.
1. Suhaizan Kayat
2. Kamarulzaman Muhamad
3. Zulhazmi Shariff
Ini hanya jangkaan penulis, penyokong calon jangan marah. Ikuti N3 seterusnya untuk jangkaan jawatan Timbalan dan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat

Wassalam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...