Sunday, September 11, 2016

Tulahan : Al-Fatihah buat ayah

Salam,

Image result for al fatihah

Esok umat Islam menyambut Aidil Adha. Aidil Adha tahun ini , pertama kali penulis dan keluarga beraya tanpa ayah bersama di dunia ini. Terasa sedih bila teringatkan ayah. Sudah dua minggu ayah pergi buat selama-lamanya.

Jumaat hari itu, hari terakhir ayah membuka mulut dan matanya. Selepas solat subuh solat terakhir ayah, keluar dari bilik ayah rebah di sofa. Penulis terus pergi kepadanya bertanya, ayah tidak menjawab  sudah tidak mampu bergerak . Penulis papah dan angkatnya letak atas katil, ayah terus tidak membuka mulut dan mata.

Sampai hari ini, penulis rasa bersalah kerana tidak tahu bahawa ayah diserang stroke . Penulis telefon kakak suruh datang tengok ayah kerana ayah tak mahu bercakap dan buka mata , penulis nak pergi kerja. Penulis telefon abang bagi tahu keadaan ayah.

Dalam kepala penulis pada masa itu, ayah mungkin sedang tidur sebab keadaannya macam tidur dengan mulut dan matanya tertutup. Tidak terlintas bahawa ayah kena stroke, tak teringat langsung bahawa ayah pernah kena minor stroke tujuh tahun lepas.

Penulis masih rasa bersalah kerana penulis pentingkan kerja sehingga tinggalkan ayah dengan emak dalam keadaan begitu sehingga kakak datang. 

Bila penulis telefon kakak tanya keadaan ayah, kakak bagi tahu ayah masih tidak buka mulut dan mata. Kakak bagi tahu abang penulis agak ayah kena stroke dan dia dalam perjalanan dari tempat kerja untuk bawa ayah ke hospital.

Bermain pertanyaan di kepala , kenapa penulis tak bawa ayah terus ke hospital? Kenapa penulis masih nak pergi kerja ?. Bila teringat bahawa itu semua ketentuan Allah, penulis redha. Allah dah tentukan abang penulis yang bawa ayah ke hospital.

Selama seminggu ayah di hospital , doktor pun dah maklum keadaan bahawa ayah tidak ada harapan untuk disembuhkan. Kami adik beradik bergilir menjaga ayah di hospital sehinggalah ayah menghembus nafas yang terakhir.

Masa itu, penulis baru selesai solat Isyak di surau hospital. Bila penulis sampai, abang bagi tahu keadaan ayah semakin tenat. Penulis terus suruh abang ajar ayah mengucap, jangan tinggal. Penulis bagi tahu nurse keadaan ayah . Penulis dan abang berterusan ajar ayah mengucap , penulis ambil HP telefon abang bagi tahu emak dan adik beradik lain supaya segera ke hospital.

Habis telefon, terus bersama abang ajar ayah mengucap. Kali ini hidung penulis yang tersentuh di muka ayah terasa lembut, tak sama ketika penulis menciumnya semasa ayah sedang sakit. Pada masa itulah, ayah menghembus nafasnya yang terakhir. Doktor datang periksa ayah dan sahkan ayah sudah tiada lagi.

Saad bin Muaz, Matinya Menggegarkan Arasy

Saad bin Muaz bin Nukman berasal dari Madinah, suku Aus ini adalah seorang sahabat yang mempunyai jiwa pahlawan. Beliau adalah bangsawan suku Aus yang masuk Islam antara baiat Aqabah I dan baiat Aqabah II. Rasulullah pernah mengambil pendangannya semasa pembangkangan dan pembatalan perjanjian yang ditanda tangani Nabi dengan bani Quraizah iaitu membunuh kaum lelaki dan kaum wanita dan anak-anak mereka dijadikan hamba. Beliau mati syahid dalam perang Khandak

Pada usia 31 tahun ia masuk Islam. Dan dalam usia 31 tahun ia pergi menemui syahidnya. Dan antara hari keislamannya sehingga wafatnya, telah diisi oleh Sa’ad bin Muadz dengan karya-karya gemilang dalam berbakti kepada Allah dan Rasul-Nya… .

Lihatlah, Gambarkanlah dalam ingatan kamu laki-laki yang anggun berwajah tampan berseri-seri, dengan tubuh tinggi lampai dan badan gemuk gempal …? Nah, itulah dia ..!

Bagai hendak dilipatnya bumi dengan melompat dan berlari menuju rumah As’ad bin Zurarah, untuk melihat seorang pemuda dari Mekah bernama Mush’ab bin Umair yang dikirim oleh Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai utusan untuk menyebarkan tauhid dan Agama Islam di Madinah ….

Memang, ia pergi ke sana dengan tujuan hendak mengusir perantau ini ke luar sempadan Madinah, agar ia membawa kembali Agamanya dan membiarkan penduduk Madinah dengan agama mereka. Tetapi baru saja ia bersama Useid bin Zurarah sampai ke hampir dengan majlis Mush’ab di rumah sepupunya, tiba-tiba dadanya telah terhirup udara segar yang meniupkan rasa nyaman. Dan belum lagi ia sampai kepada hadirin dan duduk di antara mereka memasang telinga terhadap keterangan Mush’ab, maka petunjuk Allah telah menerangi jiwa dan ruhnya.

Demikianlah, dalam ketentuan takdir yang mengagumkan, mempesona dan tidak terduga, pemimpin golongan Anshar itu melemparkan lembingnya jauh-jauh, lain mengulurkan tangan kanannya mengangkat bai’at kepada utusan Rasulullah …..

Dan dengan masuk Islamnya Sa’ad, bersinarlah pula di Madinah mata hari baru, Yang pada garis edarnya akan berputar dan beriringan qalbu yang tidak sedikit jumlahnya, dan bersama Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam menyerahkan diri mereka kepada Allah Robbul’alamin . . . !

Sa’ad telah memeluk Islam, memikul tanggung jawab itu dengan keberanian dan kebesaran … Dan tatkala Rasulullah berhijrah ke Madinah, maka rumah-rumah kediaman Bani Abdil Asyhal, yakni kabilah Sa’ad, pintunya terbuka lebar bagi golongan Muhajirin, begitu pula semua harta kekayaan mereka dapat dimanfa’atkan tanpa batas, pemakainya tidak perlu rendah diri dan jangan takut akan diserang.

Dan datanglah semasa perang Badar ….Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengumpulkan shahabat-shahabatnya dari golongan Muhajirin dan Anshar untuk bermusyawarah dengan mereka tentang urusan perang itu dihadapkannya wajahnya yang mulia ke arah orang-orang Anshar, lalu  katanya: “Kemukakanlah buah fikiran kamu, wahai shahabat … !”

Maka bangkitlah Sa’ad bin Mu’adz tak ubah bagi bendera di atas tiangnya, katanva: -
“Wahai Rasulullah ! Kami telah beriman kepada anda, kami percaya dan mengakui bahwa apa yang anda bawa itu adalah hal yang benar, dan telah kami berikan pula ikrar dan janji-janji kami. Maka laksanakanlah terus, ya Rasulallah apa yang anda inginkan, dan kami akan selalu bersama anda … ! Dan demi Allah yang telah mengutus anda membawa kebenaran! Seandainya anda menghadapkan kami ke lautan ini lalu anda menjatuhkan diri ke dalamnya, pastilah kami akan ikut menjatuhkan diri, tak seorang pun yang akan berundur, dan kami tidak keberatan untuk menghadapi musuh esok pagi! Sungguh, kami tabah dalam pertempuran dan teguh menghadapi perjuangan … ! Dan semoga Allah akan memperlihatkan kepada anda tindakan kami yang menyenangkan hati … ! Maka marilah kita berangkat dengan berkah Allah Ta’ala… !”

Saturday, June 25, 2016

Tulahan : Parti Lama ke Parti Baru

Salam,


Alhamdulillah, bertemu dengan Ramadhan sesuatu yang disyukuri . Ramadhan tahun ini , penulis tidak lagi bersama parti lama. Berbezakah? Ibadah tak berkurang pun walaupun  dalam parti baru, Tahajud, Dhuha, Tasbih , Tilawah dan lain-lain ibadah tetap dilaksana sama macam Ramadhan lalu.

Tak berkait langsung ibadah kita dengan parti lama. Tak betul jika ada dakwaan, tidak duduk dalam parti lama ibadah kita berkurang, atau pahala kita berkurang. Jika duduk dalam parti lama pun solat lima waktu masih tak sempurna, puasa pun tak cukup sebulan. Tidak berdosakah? 

Duduk dalam parti baru, aktiviti kebajikan sama ja dengan parti lama. Bantuan kepada orang miskin , sumbangan kepada pesakit hospital, sumbangan dan iftar bersama anak yatim tetap dilaksanakan. Malah , tambah pula tahun ini sumbangan kepada pelajar tahfiz. Yang untung tetap orang miskin, anak yatim sebab makin ramai yang terima sumbangan, makin bertambah sumbangan diterima.

Mana dapat dana? Sama la macam dalam parti lama, ramai yang bagi sumbangan sempena Ramadhan. Selagi parti kita betul, telus untuk sampaikan sumbangan ,yakinlah Allah akan buka hati-hati hambaNya memberi sumbangan melalui parti kita. Namun, jika tidak telus sehingga harta wakaf pun disapu, duduk dalam parti lama pun tak boleh lari dari dosa.

Syukurlah parti lama kawasan masih mendepani agenda kebajikan sama macam dulu. Kena faham berjuang dalam parti ni bukan semata-mata untuk pilihanraya. Jangan hanya bercakap macam sesetengah pimpinan parti lama, “ kita berjuang bukan hanya untuk pilihanraya” tapi program kebajikan dalam kawasan hampir tiada. Parti baru pun sama, jika berjuang semata-mata pilihanraya , maknanya kuranglah aktiviti kebajikan dan dakwahnya.

Wednesday, February 10, 2016

Tulahan : Tiga penjuru di Selangor, PAS tertekan PH boleh menang

Salam,

http://ww1.utusan.com.my/utusan/SpecialCoverage/PilihanRaya2008/images/peta/selangor.jpg

Minggu ini panas dengan beberapa isu yang melibatkan parti politik PAS dan Amanah. Isu paling panas membabitkan Adun PAS DUN Paya Jaras yang memakai pakaian didakwa seperti Dewa Kekayaan semasa meraikan orang Cina pada satu majlis sempena Tahun Baru Cina

Penulis simpati dengan apa yang dihadapi Adun Paya Jaras selepas majlis itu. Beliau diserang kerana kesilapan memakai pakaian itu. Beliau menyangka pakaian kostum itu adalah pakaian maharaja Cina. Beliau juga sudah meminta maaf , jadi sepatutnya tidak perlu dipanjangkan. Beliau ada keluarga jadi hormatilah keluarganya.

Kepada yang membelanya, tak perlu melebih-lebih sehingga mengaitkan DSAI yang memakai pakaian tradisional orang India. Tak perlu nampak bodoh membelanya, sehingga menganggap Islam tak percaya dewa jadi tak jadi masalah memakai pakaian dewa. Yang bertentangan dengan ajaran Islam tetap salah walaupun siapa pelakunya dan  yang meminta maaf patut dimaafkan.

Mengapa Adun Paya Jaras sanggup berpakaian kostum itu? Jawapan penulis, kerana mahu menarik hati pengundi Cina kekal mengundi PAS. Dilema Adun Paya Jaras , itulah yang dihadapi pemimpin PAS Selangor. Mereka bertanding di kawasan lebih 30 peratus pengundi Cina, jika tiada sokongan pengundi Cina jangan harap akan menang kerusi.

Nak mengharap bertanding satu lawan satu, pemimpin utama PAS ramai yang mendabik dada sanggup bertanding tiga penjuru. Jadi tidak dapat tidak, mereka terpaksa melakukan pelbagai cara menarik undi orang Cina. Bagi mereka, usaha mereka itu sekurang-kurangnya mampu tarik  20 ke 30 peratus undi orang Cina dan berpeluang menang tipis kerusi ditandingi

Mereka semakin tertekan apabila pemimpin parti Amanah membuat kenyataan akan bertanding di semua kerusi PAS di Selangor. Nampak jelas ketakutan pemimpin PAS Selangor apabila mereka menjadikannya kenyataan ini isu besar dengan menuduh parti Amanah ditolak PKR dan DAP untuk bertanding kerusi kedua parti itu. Sedangkan mereka pun tahu parti Amanah ini mengantikan tempat PAS dalam Pakatan Harapan.

Mengapa parti Amanah berani bertanding di kerusi PAS? Bukan sahaja kerana parti ini mengantikan PAS dalam pakatan pembangkang tetapi parti ini tahu akan menang banyak kerusi walaupun bertanding tiga penjuru di Selangor.

Kenali empat negeri yang mendapat keberkatan


Akhir zaman merupakan masa yang mendekati terjadinya hari kiamat.Berita tentang terjadinya hari kiamat sudah tertulis dalam Al-Quran dan Hadis. Mungkin tanda-tanda yang dijelaskan tersebut sudah terjadi.
Malah, dapat disimpulkan bahawa kita sedang menanti datangnya tanda kiamat besar.

Menjelang terjadinya kiamat besar, maka akan terjadi petaka dan huru hara yang akan melanda manusia khususnya umat Islam.

Dajjal laknatullah akan menebar fitnahnya ke berbagai penjuru bumi. Rasulullah SAW pun menganjurkan empat negeri ini untuk dihuni. Ini kerana negeri ini begitu diberkahi oleh Allah SWT. Berikut negeri yang dinyatakan Rasulullah dihuni pada akhir zaman.

1. Mekah dan Madinah Mekah menjadi salah sebuah negeri yang dinyatakan Nabi untuk dihuni. Ini kerana kota suci Umat Islam ini akan terbebas dari fitnah Dajjal yang kejam. Berdasarkan Hadis Nabi Muhammad SAW, Allah SWT menjamin bahawa kota ini akan dipelihara oleh malaikat dari fitnah Dajjal.

 “Tiada suatu negeri pun melainkan akan diinjak oleh Dajjal, kecuali hanya Makkah dan Madinah yang tidak. Tiada suatu lorong pun dari lorong-lorong Makkah dan Madinah itu, melainkan di situ ada para malaikat yang berbaris rapat untuk melindunginya. Kemudian Dajjal itu turun lah di suatu tanah yang berpasir ( di luar Madinah ) lalu kota Madinah bergoncanglah sebanyak tiga goncangan dan dari goncangan-goncangan itu Allah akan mengeluarkan setiap orang kafir dan munafik (dari Makkah – Madinah) .” (Riwayat Muslim).

Sunday, January 24, 2016

Tulahan : Bertanding tiga penjuru, BN menang PAS malang



Salam,
 http://4.bp.blogspot.com/--emHkqvnyf4/UYeVhHqYDpI/AAAAAAAABOU/n5ai7S-fiKc/s1600/dun.png


Pilihanraya umum ke 14 (PRU 14) sudah semakin hampir, tempohnya berakhir pada Mac 2018. Ramai penganalisis politik meramalkan PRU 14 akan diadakan pada 2017 . Justeru , jika PRU 14 berlangsung 2017, maknanya tahun depan sudah tidak lama. Bagaimana sokongan pengundi kepada parti-parti politik di Malaysia? , adakah sama seperti PRU 13?

Keputusan PRU 13 menunjukkan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) mencapai 53 % berbanding Barisan Nasional (BN) sebanyak 47%. Bagaimanapun, sistem pilihanraya di Malaysia membolehkan BN memerintah kerana mempunyai lebih kerusi berbanding PR. 

Menjelang PRU 14, pertembungan PR dengan BN sudah tidak dapat disaksikan lagi. PR sudah berkubur apabila PAS dan DAP tidak boleh bersama lagi dan muncul sebuah parti Islam generasi baru, Amanah. DAP, PKR dan Amanah telah membentuk gabungan parti pembangkang baru iaitu Pakatan Harapan (PH), manakala PAS berkali-kali melaungkan pendiriannya rela bertanding sendirian walaupun menerima pujuk rayu PKR bagi mengelakkan pertarungan tiga penjuru.

Sebelum PRU 13, penulis banyak membuat analisis ramalan pencapaian antara PR dan BN dalam pertandingan dua penjuru . Namun kali ini, penulis akan memberi analisis merujuk kepada pertandingan tiga penjuru antara BN, PH dan PAS.

Penulis akan menggunakan data asas analisis seorang penganalis , yang memberikan data hampir tepat purata undi diterima BN dan PR mengikut kaum pada PRU 13 . Datanya seperti di bawah :


Negeri/
%
Melayu (BN)
Melayu (PR)
Cina
(BN)
Cina
(PR)
India
(BN)
India
(PR)
Selangor & KL
62
38
12
88
25
75
PP
62
38
13
87
22
78
NS & Melaka
82
18
8
92
31
69
Perak
63
37
13
87
69
31
Kedah
57
43
10
90
55
45
Johor
84
16
11
89
59
41
Terengganu
53
47




Kelantan
47
53






Data di atas menunjukkan sokongan pengundi Melayu kepada BN melebihi PR kecuali Kelantan. Jumlah sokongan pengundi Melayu paling tinggi kepada BN di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor mencapai 84%.
Pengundi Cina pula memberi sokongan kepada PR melebihi BN. Jumlah sokongan pengundi Cina kepada PR hampir sekata untuk semua negeri diantara 84 hingga 90 %.

Manakala, sokongan pengundi India pula berbeza antara negeri. Sokongan pengundi kepada PR agak besar di Selangor &KL, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. Berbeza pula di negeri Perak,Kedah dan Johor , dimana sokongan pengundi India BN melebihi PR.

Adakah pola sokongan ini akan kekal? Kekal hanya untuk pengundi Cina, berubah bagi pengundi Melayu dan India. Semua tahu, kerajaan pimpinan DS Najib sekarang cukup lemah dilanda pelbagai skandal, rakyat sekarang cukup terbeban dengan cukai GST. Pemberian BRIM bukan lagi sesuatu yang mengembirakan kerana bebanan dan tekanan tidak terkawal akibat kenaikan kos hidup.

Kisah Abu Jandal dan Abu Bashir : Perjanjian yang tidak dikhianati walaupun dengan kafir menentang Islam

 http://hikayat.afahrurroji.net/wp-content/uploads/2014/06/hikayat-ilustrasi.png

Ketika Abu Jandal bin Suhail bin Amr memeluk Islam, kaum keluarganya mengurung dan menyiksanya sehingga ia tidak boleh menyusul Nabi SAW ke Madinah sebagaimana orang Islam lainnya. Suatu masa ia berjaya meloloskan diri melalui bahagian bawah kota Makkah, dan menemui orang-orang Islam yang pada masa itu sedang berada di Hudaibiyah, kedua tangannya dalam keadaan terikat. 

            Semasa itu utusan kaum Quraisy, Suhail bin Amr, yang tidak lain adalah ayah Abu Jandal sendiri, sedang mengadakan rundingan dengan Nabi SAW tentang butir-butir Perjanjian Hudaibiyah. Salah satu butir tersebut adalah : Jika seorang lelaki dari Makkah datang kepadamu (Nabi SAW), walaupun ia telah memeluk Islam, maka engkau harus mengembalikannya kepada kami (Kaum Quraisy). 
 
Ketika Suhail melihat kehadiran Abu Jandal, Suhail berkata kepada Nabi SAW, "Hai Muhammad, dia ini adalah orang pertama yang harus engkau kembalikan kepada kami." 
 
Nabi SAW sebenarnya berusaha mempertahankan Abu Jandal dengan dalih perjanjian tersebut belum sampai tahap disepakati, tetapi masih dalam perundingan. Tetapi Suhail tetap berkeras, sehingga akhirnya Nabi SAW merelakan Abu Jandal dibawa kembali ke Makkah. Nabi SAW akur dengan perjanjian yang sudah disepakati walaupun dengan orang kafir yang menentang Islam.
 
Abu Jandal sempat berkata, "Hai orang-orang Islam, apakah aku akan dikembalikan kepada kaum musyrik, sedangkan aku telah datang kepada kalian sebagai muslim? Apakah kalian tidak melihat apa yang kuderita?" 
 
Tentu sahaja kaum muslimin sangat tersentuh dengan peristiwa ini. Tetapi apa yang telah diputuskan oleh Nabi SAW, itulah hukum yang harus ditaati. Hanya Umar bin Khathab yang sempat bertanya kepada Nabi SAW, tetapi ia pun akhirnya boleh menerimanya setelah dijelaskan Abu Bakar RA. Nabi SAW hanya boleh menasihati Abu Jandal untuk bersabar. 
 
Berlalulah waktu, seorang muslim lagi, yakni Abu Bashir, terlepas dari kurungan dan siksaan kamu Quraisy dan berlari ke Madinah. Abu Bashir RA adalah lelaki dari kalangan kaum Quraisy, ia memeluk Islam dan datang ke Madinah untuk tinggal bersama Nabi SAW sebagaimana umat Islam lainnya. 

Friday, December 11, 2015

Tulahan : Istiqamah yang amanah dalam muhibbah

Salam,


Dah hampir setahun blog ini tidak diupdate, tiada tulisan peribadi, tiada apa-apa paparan ilmu untuk dikongsi pembaca. Sehinggalah minggu lepas bila ada sepupu datang ziarah ayah dan emak di kampung.

Sepupu tanya , kenapa lama tak menulis blog. Ketika itu baru penulis tersedar yang dah lama penulis tidak menulis. Ya, sejak berlaku krisis dalam jamaah penulis tiada motivasi untuk menulis tentang perjuangan.

Banyak yang penulis korbankan untuk perjuangan ini, bukan kecil pengorbanan tidak ramai yang sanggup berkorban seperti penulis lakukan. Berjauhan dengan isteri dan anak, infaqkan harta, serahkan masa untuk perjuangan.

Awlawiyat penulis adalah jamaah melebihi keluarga, kerja dan kehidupan dunia. Mereka yang pernah berjuang bersama penulis tahu hakikat ini, tahu kesungguhan penulis melaksanakan kerja jamaah, tahu sejarah penulis mengerakkan jamaah kawasan.

Namun, apabila berlaku krisis yang melanda jamaah, penulis memang kecewa. Timbul pula caci maki, fitnah, celaan terhadap sesama ahli jamaah cukup tidak menyenangkan penulis. Selepas muncul parti Islam baru , penulis ingatkan akan habislah cacian, kejian, fitnah tetapi tidak juga malah lebih banyak penghinaan  dan fitnah kepada pimpinan dan ahli parti baru.

Muncul istilah istiqamah ditulis, ditempel, diratip tanpa henti untuk menyatakan kekal dalam jamaah lama. Pimpinan yang istiqamah diangkat, dipuji , dipuja walaupun pemimpin itu terpalit dengan skandal komisen balak, membeli pangkat datuk, melesapkan wang wakaf dan pelbagai gejala tidak berakhlak yang malu disebut dilakukan pemimpin sebuah jamaah.

Yang meratip istiqamah pula bukanlah mereka yang aktif bekerja mengerakkan jamaah lama, malah mereka sekadar istiqamah di Whats App dan facebook sahaja. Jika dalam kawasan penulis, penulis kenal mereka yang meratip istiqamah ini, ada yang markas pun tak berani nak jijak kerana bekerja kerajaan, ada yang bila diajak berjuang pelbagai alasan diberi kerana takutkan isteri (Isteridirumah bukan Istiqamah), ada yang tunggu pencen baru nak berjuang dan banyak lagi.

Mereka aktif memaki, melabel, menyebar fitnah di Whats App dan facebook , namun hakikat sebenar dari segi perjuangan mereka tidak layak pun hendak dibandingkan dengan orang yang mereka hina dan label. Mereka hina pimpinan dan ahli parti baru sebagai munafik, sedangkan perangai munafik itu ada pada mereka yang berpura-pura pejuang sebaliknya , pengecut berjuang.

Ada seorang pimpinan parti baru dalam kawasan penulis yang penulis tahu, dia ni seorang yang tak tinggal solat dhuha. Apabila ada seseorang yang hinanya dengan macam-macam label, penulis siasat pelabel itu. Menyedihkan , sang pelabel ini, solatnya pun tidak penuh, anak perempuan pun tidak menutup aurat, solat jamaah jarang sangat di surau. 

Walaupun begitu , penulis bersyukur ada juga muka baru yang muncul mengantikan mereka yang pergi ke parti baru. Sekurang-kurangnya , jamaah lama tidak ketandusan muka baru walaupun cara bekerja muka baru tidak seaktif mereka yang pergi.

Bagaimana dengan penulis? , ada yang menuduh penulis telah futur, ada yang menyatakan penulis ni harummanis, malah ada yang menyebarkan penulis dah ada jawatan dalam parti baru.

Friday, December 26, 2014

Abu Ubaidah bin Al-Jarrah maut bersama rakyat dan tenteranya hadapi bencana


Nama sebenarnya adalah ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Jarrah al-Fihri al-Quraisy al-Makki. Beliau salah seorang sahabat yang dijamin masuk Syurga, memiliki wajah yang berseri, tampan orangnya tinggi lampai, tidak gempal dan berjambang nipis. Beliau mudah mesra, tawaddhu' dan pemalu. Namun, di saat yang genting beliau bagaikan singa yang mencari mangsa. Kualiti iman dalam dirinya dapat kita ketahui melalui sabda Baginda Nabi S.A.W, “Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan orang kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” - Riwayat al-Tirmizi

Abdullah bin ‘Umar pernah menjelaskan perwatakan Abu Ubaidah ini, “Tiga lelaki Quraish yang paling berseri wajahnya, paling baik akhlaknya, dan paling teguh sifat malunya; Jika mereka berkata kepadamu, mereka tidak berdusta. Jika kamu berkata kepada mereka, mereka tidak akan mendustakannya. Mereka adalah Abu Bakr, Uthman bin ‘Affan dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah.”

Manakala diriwayatkan yang dinayatakan oleh Saidatuna Aishah R.A.H, beliau berkata, “Rasulullah S.A.W pernah ditanya, Siapa yang engkau cintai (dari golongan laki-laki)?”

Baginda menjawab, “Abu Bakar.”

Lalu ditanyakan kepada Baginda lagi, “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab, “Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” - riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah. Dalam riwayat lain mengatakan bahawa Umar al Khattab.

Abu Ubaidah bin al-Jarrah dilahirkan di Makkah, di dalam sebuah rumah keluarga suku Quraish yang dihormati dan disegani oleh pemuka kabilah masyarakat Arab. Meskipun demikian, Abu Ubaidah juga tergolong di dalam golongan yang paling awal memeluk Islam, agama yang menjadi ancaman kepada masyarakat Arab jahiliyyah ketika itu. Abu Ubaidah memeluk Islam sehari selepas pengislaman Abu Bakar dan ini adalah hasil daripada dakwah Abu Bakar kepada Abu Ubaidah.

Pengislaman Abu Ubaidah disaksikan Abdul Rahman bin ‘Auf, Uthman bin Maz’un dan al-Arqam bin Abi al-Arqam yang telah mengucapkan syahadah di hadapan Rasulullah S.A.W. Maka, ini bermakna Abu Ubaidah adalah golongan yang bersama Rasulullah daripada awal hingga akhir perjuangan mereka di Makkah. Seperti mana yang kita ketahui, pada waktu itu mereka ditimpa pelbagai seksaan disebabkan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi.

Kehidupan Abu Ubaidah tidak jauh berbeza dengan kebanyakan sahabat lainnya, diisi dengan perjuangan menegakkan Islam. Ketika Baginda Rasulullah mengizinkan umat Islam berhijrah ke Habsyah, beliau turut serta berhijrah ke sana bersama rombongan Muslim yang lain di saat gelombang kedua kekejaman musyrikin Quraish demi menyelamatkan aqidahnya.

Walaupun Abu Ubaidah menghadapi pelbagai dugaan di Makkah, namun boleh dikatakan dugaan paling mencabar yang dihadapinya adalah ketika perang Badar di mana dugaan ini benar-benar melampaui jangkaan dan khayalan. Ketika peperangan itu, Abu Ubaidah menyerang musuh-musuh dengan begitu hebat sekali dengan perwatakan pahlawan mencari syahid dan tidak takutkan mati. Semangat kepahlawanan beliau telah menggerunkan tentera Musyrikin sehingga mereka berwaspada dan cuba mengelak daripada bertempur dengan Abu Ubaidah.

Dalam pada jumlah tentera Quraish yang ramai itu, ada seorang sahaja yang benar-benar ingin bertempur dan mengekang semangat kepahlawanan Abu Ubaidah itu. Keadaan ini menyebabkan Abu Ubaidah cuba mengelak daripada bertempur dengan lelaki tersebut. Setiap serangan oleh lelaki itu, Abu Ubaidah mengelak dengan segera. Lelaki itu tidak berputus asa dan dia menyekat kemaraan Abu Ubaidah dengan menghunuskan pedang ke arah Abu Ubaidah sehingga tiada pilihan lain lagi untuk beliau mengelak. Dalam keadaan terpaksa, dia menetak lelaki tersebut dan membuatkan badan lelaki itu tersungkur ke bumi. Lelaki yang jatuh menyembah bumi itu adalah ‘Abdullah bin al-Jarrah, ayah kepada Abu Ubaidah.

Friday, November 28, 2014

Tulahan : Lima bulan berdakwah di bumi sendiri



Salam

http://4.bp.blogspot.com/-b09Ty9KiaN4/TXMSsCBewsI/AAAAAAAAA4c/jyrZhhSy9_o/s320/doa%2Btangan.jpg


Dah lebih lima bulan penulis tak tinggal bersama isteri dan anak-anak. Jika dulu, penulis balik dua minggu sekali ke kawasan. Sekarang , dua minggu sekali penulis balik bertemu isteri dan anak-anak.

Yang tak faham dakwah, tak faham perjuangan, tak boleh terima tindakan penulis tinggalkan isteri dan anak-anak.

Yang faham pula anggap penulis pindah untuk lebih senang berjuang dengan jamaah kawasan. Mereka tidak tahu tujuan sebenar penulis pindah.

Memang bagi yang tak faham, penulis bagi alasan nak jaga ayah dan emak yang sudah menjangkau umur 80 tahun di kampung. Sesetengah mereka , ada yang buat fitnah adik beradik penulis yang lain tidak jaga ayah dan emak sebab itu penulis balik ke kampung.

Mereka salah, sebenarnya selama ini adik beradik penulislah yang banyak jaga ayah dan emak terutama kakak dan dua abang penulis yang tinggal dekat sekitar bandar di luar kampung.

Penulis rasa jasa mereka kepada ayah dan emak lebih daripada penulis yang selalu berjauhan sehingga beberapa tahun di luar negara.

Benar, alasan hendak tinggal bersama ayah emak merupakan antara alasannya tapi alasan utamanya adalah kerana mahu berdakwah supaya mereka yang selama ini tidak sujud kepada Allah agar sujud kepada Allah.

Penulis mahu laksanakan tanggungjawab berdakwah mengajak orang kampung penulis yang tidak solat supaya solat, penulis mahu makmurkan semula surau kampung penulis dengan solat jamaah.

Penulis bersyukur ahli keluarga penulis kekal dengan solat. Keluarga orang kampung yang lain termasuk keluarga orang jamaah ramai yang tidak solat , malah kalau ada yang solat , solat mereka tidak penuh.

Jika solat waktu tak penuh, boleh bayang hanya beberapa orang sahaja yang solat Jumaat. Itupun berselang minggu. Pulak tu solat Jumaat di masjid kampung sebelah.

Bukan penulis tidak cuba berdakwah sebelum ini, penulis dan abang penulis pernah cuba 15 tahun lalu tapi ada halangan dari orang Ubn yang berpaut kepada seorang Imam tua di kampung.

Walaupun Imam tua ini bermasalah, orang Ubn tidak kisah asal boleh halang penulis jadi imam di kampung. Selepas itu, penulis tinggal jauh dari kampung.

Balik pun sekali sekala, tapi penulis tak tinggal jamaah di kampung. Bila masa dekat raya, penulis salurkan bantuan kepada orang kampung susah atas nama jamaah. Bila masa pilihanraya, penulis bagi bendera dan poster untuk orang jamaah pasang di kampung.

Sejak pertengahan bulan enam penulis pindah ke rumah orang tua penulis di kampung. Kebetulan pula Imam tua harapan orang Ubn baru saha meninggal dunia. Orang Ubn terkejut bila tengok penulis ke surau semasa kuliah seorang ustaz Ubn.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...